
KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kerajaan bertindak secara tidak wajar apabila memfailkan permohonan di mahkamah bagi menghalang sebarang perbincangan mengenai Titah Adendum.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, isu Titah Adendum sudah menjadi pengetahuan umum dan dibahaskan secara meluas oleh rakyat dan pelbagai pihak negara ini, malah mahkamah sendiri telah mengesahkan kewujudannya.
“Kedua, mahkamah sudah buat keputusan bahawa (Titah) Adendum itu wujud. Jadi, apa lagi yang ingin dipersoalkan?” katanya beliau ketika ditemui Harakahdaily.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Ahli Parlimen daripada membahaskan perkara tersebut di Dewan Rakyat.
“Parlimen dan mahkamah adalah dua badan yang berbeza, tidak boleh dicampur-adukkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis ‘Back To School’ peringkat Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.
Seramai 300 pelajar dalam parlimen tersebut menerima sumbangan kelengkapan persekolahan masing-masing bernilai RM100 tiap seorang.
Beliau juga mempersoalkan tindakan Pejabat Peguam Negara yang membuat permohonan itu, sedangkan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum ini menyatakan ketidaksetujuannya terhadap larangan bersuara di Parlimen.
“Azalina sendiri adalah salah seorang pihak yang disaman oleh Datox Sri Najib Razak sebelum ini bersama enam individu lain. Jadi, mengapa peguamnya bertindak bercanggah dengan pendiriannya?” soal beliau.
Menurut Takiyuddin, sepatutnya Azalina mengemukakan persoalan kepada Peguam Negara bagi menjelaskan mengapa permohonan itu dibuat dan siapa yang memberi arahan mengenainya.
Beliau turut menyatakan bahawa peguam tidak boleh bertindak sendiri tanpa arahan daripada anak guamnya, selain beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan ini dibuat bagi menjaga kepentingan kerajaan sedia ada.
“Speaker Parlimen dilantik oleh kerajaan. Jadi, boleh jadi ini adalah usaha untuk mempertahankan kerajaan. Tetapi sepatutnya, beliau perlu adil dan mempertahankan Parlimen, bukan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2025











