
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyokong penuh inisiatif memperkenalkan garis panduan baharu mengenai acara membabitkan umat Islam di rumah ibadat bukan-Islam.
Naib Presiden PERKASA, Prof Madya Dr Amini Amir Abdullah berkata, sokongan itu juga merangkumi garis panduan yang sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ini menunjukkan PERKASA bersetuju dengan keperluan panduan yang jelas dalam isu ini demi memelihara akidah umat Islam dan kesucian Islam.
“PERKASA menggesa Ahli Parlimen Bangi DAP, Syahredzan Johan serta DAP, MIC, DAPSY dan pertubuhan lain untuk tidak ‘melatah’ dan bertindak balas secara terburu serta membuat kenyataan bertentangan ajaran al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ini mencerminkan kebimbangan PERKASA terhadap kenyataan yang mungkin mencetuskan perbalahan atau salah faham berkaitan isu agama dan 3R iaitu raja, agama dan kaum,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau secara ringkas, PERKASA menyeru pihak tertentu untuk mengelakkan kenyataan atau perubatan di rumah ibadat bukan-Islam yang boleh dianggap sensitif atau bertentangan dengan ajaran Islam.
“Garis panduan yang bakal dimuktamadkan dipercayai tidak menghalang mana-mana umat Islam untuk melawat mana-mana rumah ibadat agama lain,” kataya.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan-Islam.
Ketua DAPSY, Woo Kah Leong menentang cadangan berkenaan dan menggesa supaya kerajaan membatalkan pelaksanaannya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan. – HARAKAHDAILY 10/2/2025











