Kadar sewa Bazar Ramadan 2025 ditetapkan pemajak

Di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kadar sewa tapak Bazar Ramadan 2025 di Zon B, Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV ditetapkan sepenuhnya oleh pihak pemajak.

- Advertisement -

Ahli Lembaga Pengarah Stadium Kelantan (PSK), Zamakhshari Muhamad memaklumkan bahawa PSK memberi hak sewaan tapak kepada Tun Event Management.

Jelas beliau, ia selepas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menarik diri daripada penganjuran program Pasar Tani Ramadan 2025 di lokasi berkenaan.

Menurut beliau, FAMA sebelum ini mengendalikan bazar tersebut melalui program Pasar Tani Ramadan setiap tahun dengan menyewa tapak daripada PSK.

“Menerusi surat rasmi bertarikh 22 Januari 2025, FAMA memutuskan untuk tidak lagi terlibat kerana ingin memberi tumpuan kepada aktiviti lain.

“Susulan itu, PSK memberikan hak penganjuran kepada Tun Event Management yang berhasrat menjadikan bazar lebih dinamik dan menarik dengan penambahbaikan aspek kebersihan serta keceriaan,” katanya.

Zamakhshari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Belia Negeri turut menjelaskan kadar sewa baharu ditetapkan oleh pihak pemajak bagi dua kategori tapak bazar.

“Di bawah kelolaan FAMA, kadar sewa RM500 bagi tapak bersaiz 3×6 kaki persegi tanpa kemudahan elektrik. Dengan pengurusan baharu, harga ditetapkan untuk tapak premium khemah 10×10 kaki di lot penjuru, satu plug point, kipas, lampu serta dua helai apron adalah RM1,650.

“Manakala tapak biasa berukuran 10×10 kaki persegi dengan satu plug point, kipas, lampu dan dua helai apron ditawarkan pada kadar RM1,350. Harga tersebut tidak termasuk lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Setakat ini, 157 petak jualan telah ditempah oleh peniaga tempatan, dengan hanya tiga petak masih berbaki,” jelas beliau kepada Harakahdaily.

Menurutnya juga, bagi meningkatkan daya tarikan bazar dan memberi motivasi kepada peniaga, pihak penganjur turut memperkenalkan pertandingan reruai paling cantik dan bersih dengan hadiah wang tunai menanti pemenang.

“Selain itu, peniaga juga berpeluang menyertai cabutan bertuah bernilai RM3,000 sepanjang tempoh bazar berlangsung,” katanya ketika ditemui media UPKN di pejabatnya, hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa hanya 160 tapak disediakan demi keselesaan pengunjung. – HARAKAHDAILY 10/2/2025

- Advertisement -