
KANGAR: Ekspedisi Pelayaran Kuala Perlis ke Langkawi yang berlangsung hari ini menjadi platform latihan penting bagi atlet perahu layar Perlis sebelum menyertai Langkawi International Regatta Perdana 2025 pada 13 hingga 16 Februari nanti.
Program anjuran Persatuan Perahu Layar Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Perlis ini disempurnakan pelepasannya oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli di Jeti Kompleks Kastam Kuala Perlis, di sini.
Menurut Mohd Shukri, penyertaan atlet Perlis dalam program ini memberi pengalaman amat berharga, terutama kepada pelayar muda yang sedang membina kemahiran mereka.
“Latihan yang baik di negeri Perlis serta penyertaan dalam Regatta Langkawi akan memberi pengalaman berharga kepada atlet pelapis kita. Mereka akan kembali ke Perlis pada 17 Februari nanti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Perahu Layar Negeri Perlis atas usaha membangunkan bakat muda dalam sukan ini.
“Tahniah kepada persatuan kerana berjaya melahirkan ramai atlet pelapis, termasuk yang berumur di bawah 9 dan 10 tahun. Ini akan membawa Perlis lebih cemerlang dalam sukan perahu layar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tambahnya.
Seramai sembilan pelayar terlibat dalam ekspedisi ini, yang turut menjadi medan persiapan mereka sebelum menghadapi cabaran di perairan Langkawi nanti.
Acara pelayaran bertaraf antarabangsa ini bakal berlangsung di Pusat Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi, Kedah melibatkan lebih 280 peserta dari pelbagai negara.

Antara negara yang akan mengambil bahagian, termasuk India, UAE, Arab Saudi, Iran, Kuwait, Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia, Taiwan, Kemboja dan Vietnam.
Juga negeri-negeri di Malaysia seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pahang, TLDM, Terengganu, Sabah, Sarawak dan kelab pelayaran.
Peserta dari China telah berada di Langkawi sejak sebulan lalu untuk menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kejohanan ini.
Antara kategori perlumbaan yang dipertandingkan ialah Persatuan Kelas Laser Antarabangsa (ILCA), Optimist, International 420 & 470, IQFoil, Windsurfing RS-X, RS-One, Bic Techno, 29er dan lain-lain.
Setiap hari akan berlangsung sehingga tiga perlumbaan, dengan maksimum 12 perlumbaan sepanjang acara dan perlumbaan terakhir serta majlis penutupan akan diadakan pada 16 Februari.
Hadiah disediakan bagi pemenang tempat pertama hingga ke-10 untuk kategori Optimist, manakala kategori lain menawarkan hadiah bagi tempat pertama hingga ketiga.
Regatta ini dianjurkan oleh Persatuan Perahu Layar Kedah dengan sokongan Kementerian Belia & Sukan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), serta kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim dan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan – HARAKAHDAILY 10/02/2025












