
TUMPAT: Orang ramai melahirkan kebimbangan mereka terhadap kenaikan kadar tarif elektrik Julai ini sebagaimana yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Meskipun Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan kadar tarif elektrik, namun ianya diragui oleh orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah, tidak menafikan beliau begitu terkejut dengan kenaikan kadar elektrik.
Ini kerana katanya, sebelum ini sudah berlaku kenaikan dan rakyat telahpun menerima kesan kenaikan harga barang.
“Walaupun Perdana Menteri menyatakan 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga barang walaupun kos elektrik meningkat, namun kita tidak yakin dengan perkara itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selapas Majlis Penyampaian Sumbangan ‘Back To School’ 2025 DUN Wakaf Bharu di perkarangan Pasar Besar Wakaf Bharu, dekat sini semalam.
Beliau menambah kata, peniaga akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terutama keperluan harian sebaik sahaja kadar tarif elektrik dinaikkan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan perlu mempertimbangkan semula keputusan ini kerana ia sudah pasti memberi kesan kepada rakyat di semua peringkat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Rakyat baru sahaja dibebani dengan harga diesel baru-baru ini yang sedikit sebanyak telah menyebabkan kenaikan harga barang.
“Sekarang ini masyarakat sedang bersiap untuk menyediakan kelengkapan pakaian sekolah anak-anak, tidak lama lagi persiapan Aidilfitri yang perlu disediakan selewat-lewatnya bulan Ramadan,” katanya.
Tambah Rusli, mereka memerlukan sumber kewangan yang besar untuk membuat persediaan tersebut. – HARAKAHDAILY 10/2/2025











