Syarikat China di Malaysia mungkin ‘tempias’ tarif baru AS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, Amerika Syarikat (AS) sangat peka dengan syarikat dari negara China memindahkan produk mereka ke negara lain seperti Malaysia bagi mengelak tarif yang tinggi.

- Advertisement -

“Apakah kebarangkalian syarikat-syarikat daripada China ini akan dikenakan tarif sama seperti produk yang dikeluarkan di China seterusnya akan memberi kesan kepada polisi ‘China Plus One’,” soalnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam jawapannya memberitahu, tarif yang akan dikenakan kepada China dan mungkin akan dikenakan juga kepada syarikat-syarikat China di Malaysia yang ingin mengeksport ke AS.

“Perkara ini memang selalu dibincangkan dan kita telah mula membuat kajian sejak Trump 1.0 yang memulakan tarikh ke atas China dan selepas itu Biden pun meneruskan polisi ini dan baru-baru ini kita dapat lihat di bawah apa Pentadbiran Trump 2.0 dia meningkatkan lagi tarif terutamanya daripada China yang naik lagi 10 peratus. 

“Setakat ini belum ada lagi tarif yang dikenakan kepada negara-negara lain yang memberi peluang kepada pelaburan China untuk masuk tapi ada risiko.

“Setakat ini kerisauan kita adalah sama ada eksport ke AS akan terkesan. Oleh itu dalam dari segi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kita tidak ada dengan AS. Oleh itu kita perlu terus membuat libat urus dengan AS,” ujarnya.

Datuk Wira  dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah kerajaan dalam menangani isu geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan dunia.

Khususnya kenaikan tarif yang akan memberi kesan terhadap eskport Malaysia terutama ke AS membabitkan sektor strategik seperti semikonduktor dan elektronik. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -