
KUALA LUMPUR: Program Skim Amanah Rakyat (SARA) merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meningkatkan simpanan dan pelaburan mereka.
Bagaimanapun, pelbagai polisi kerajaan sejak 2023 dan 2024 telah menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, menurut Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Ini termasuk kenaikan harga diesel serta peluasan skop SST. Kenaikan kos sara hidup pada 2025 dijangka lebih memeritkan akibat kesan berantai kenaikan harga petrol.
“Golongan yang tidak layak menerima subsidi serta mereka yang terkesan dengan kenaikan tarif elektrik turut berdepan cabaran. Adakah kerajaan melihat kadar bantuan yang diberikan mencukupi, mengambil kira trend kenaikan kos sara hidup yang mendadak?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan.
Roslan turut meminta kerajaan menjelaskan pendekatan untuk membantu golongan pertengahan yang semakin terhimpit tetapi tidak layak menerima sebarang bantuan.
Menjawab persoalan itu, Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan telah meningkatkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM13 bilion tahun ini.
“Skim SARA juga diperluaskan daripada 700,000 penerima kepada 5.4 juta penerima tahun ini bagi membantu mereka yang terkesan dengan kos sara hidup,” katanya.
Pada soalan asal, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) meminta penjelasan mengenai keberkesanan kaedah bantuan melalui MyKad berbanding pemberian STR secara tunai. – HARAKAHDAILY 6/2/2025











