Perkenalkan pelan insurans perubatan lindungi rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperkenalkan pelan insurans perubatan nasional bagi melindungi rakyat Malaysia daripada beban premium yang tinggi susulan kenaikan mendadak insurans perubatan.

- Advertisement -

Kalam Salam (PN-Sabak Bernam) membangkitkan persoalan ini dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, dengan meminta penjelasan mengenai model pembiayaan kesihatan yang sedang dipertimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Apakah kerajaan akan perkenalkan pelan insurans perubatan nasional bagi memberi perlindungan kepada rakyat tanpa membebankan mereka dengan premium tinggi?

“Sehubungan itu, berapakah jumlah pemegang polisi yang telah membatalkan insurans mereka akibat kenaikan mendadak ini?” soalnya pada soalan tambahan.

Beliau turut meminta unjuran peningkatan perbelanjaan kesihatan awam pada 2025 berikutan situasi tersebut, selain mencadangkan mekanisme pemantauan serta kawalan harga bagi perkhidmatan hospital swasta.

Timbalan Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengakui isu ini kompleks dan kerajaan sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan tekanan terhadap sektor kesihatan.

“Antaranya adalah pelaksanaan sistem Diagnosis Related Group (DRG) yang memastikan harga perkhidmatan dipaparkan secara telus supaya pengguna boleh membuat perbandingan sebelum mendapatkan rawatan.

“Kementerian juga akan memperkenalkan model penyampaian perkhidmatan baharu yang bukan sahaja boleh membantu mengurangkan kos, tetapi juga memberi manfaat kepada pemegang insurans,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -