
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengamati sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengenai penambahbaikan sistem pendidikan negara dan kesejahteraan.
Sehubungan itu Dr Halimah Ali (PN-Kapar) meminta penjelaskan kerajaan negeri mengenai status pembinaan Sekolah Kebangsaan Telok Kapas diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 Rolling Plan 1 Tahun 2016.
Beliau berkata sekolah tersebut menjadi penyelesaian terhadap masalah kepadatan pelajar di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang meskipun pelbagai alasan tidak munasabah diberikan pihak berwajib.
“Saya difahamkan peruntukkan pembinaan sekolah ini telah diluluskan dan pihak berkuasa tempatan mensyaratkan pula perlu dibina jejantas sebelum mereka meluluskan pembinaan sekolah ini.
“Soalan Kapar, sangkut di manakan projek ini di Kementerian Kewangan ke, Kementerian Ekonomi ke, tolonglah orang Kapar mahu tahu, bila mula bila nak siap Sekolah Telok Kapas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas, di sini hari ini.
Halimah yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, kerajaan hari ini perlu mengambil tanggungjawab yang besar bagi memastikan institusi pendidikan itu dapat dibangunkan semula demi kehidupan rakyat.
Menurutnya, masalah membabitkan pendidikan bukan isu yang boleh dipermainkan oleh mana-mana pihak, malah elemen tersebut menjadi keperluan yang tidak boleh dinafikan dalam hak asasi manusia.
“Kapar mahu tindakan bukan ‘no action talk only’ NATO, buat tindakan biar mencerminkan semangat reformasi dan roh madani dengan semangat inklusif termasuk wakil rakyat termasuk pembangkang.
“Mereka wakil kepada rakyat majoriti kawasan tersebut, bukan penyelaras parlimen yang dilantik oleh parti kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











