
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan pengagihan ekonomi negara dilakukan secara adil tanpa mengira perbezaan politik.
Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, kerajaan yang memerintah adalah pemegang amanah bertanggungjawab menguruskan ekonomi untuk kesejahteraan semua rakyat.
“Yang Dipertuan Agong juga menyebut pengagihan sama rata. Suka saya ingatkan kepada pihak kerajaan, sewaktu mereka memerintah negara, mereka adalah pemegang amanah yang diberi oleh Allah kepada mereka.
“Allah berpesan di dalam al-Quran bermaksud jangan sekali-kali perbezaan antara kumpulan parti-parti, perkauman dan seumpamanya
menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada ketakwaan kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa hasil cukai yang dikutip kerajaan adalah milik rakyat dan bukan dana parti politik tertentu.
“Ekonomi yang ada dalam negara ini milik semua rakyat. Rakyat Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah ada hak (mendapat peruntukan sewajarnya) kerana mereka mengeluarkan cukai kepada kerajaan.
“Duit yang dihimpunkan oleh kerajaan bukan duit daripada parti, bukan duit PH, DAP, PKR, tidak. Ini duit rakyat. Mengapa tidak diagihkan sama rata?” soalnya.
Zawawi turut mencabar kerajaan agar menghentikan kutipan cukai daripada negeri-negeri berkenaan sekiranya tidak mahu peruntukan diberikan secara adil.
“Kalau kerajaan tidak mahu bagi peruntukan secukupnya kepada Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah jangan pungut cukai daripada rakyat di negeri ini supaya negeri yang pungut dan negeri yang akan membelanjakan kewangan ini.
“Kita akan lihat negeri-negeri ini akan bangun menjadi negeri yang kaya, maju, hebat, mengatasi Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











