
KUALA LUMPUR: Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan langkah membenarkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa disalurkan melalui pelbagai saluran, dan tidak hanya melalui agensi penguatkuasaan, sebelum sampai kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Beliau mencadangkan supaya pemberian maklumat berkaitan rasuah itu turut melibatkan badan-badan lain seperti media massa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukan sahaja melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen
“Yang kedua, tadi Yang Berhormat Menteri menyebut tentang ganjaran. Saya ingin tahu, berapakah jumlah yang telah dibelanjakan oleh agensi penguatkuasaan kepada pemberi maklumat sebagai ganjar kepada mereka.
“Dan apakah jaminan terhadap pekerjaan dan keselamatan diri dan keluarga jika rakan sekerja bertindak sebagai pemberi maklumat bahawa wujud aktiviti rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam agensi penguat kuasa yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman dalam jawapannya berkata, kerajaan mengakui ganjaran kepada pemberi maklumat di bawah Seksyen 26 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat memang diberikan, tetapi skala ganjaran tidak ditetapkan secara khusus.
Menurutnya, cadangan memperluaskan pemberian maklumat kepada platform selain agensi penguatkuasaan memerlukan kajian lanjut bagi mengelakkan percanggahan dengan undang-undang lain.
Tambahnya, perbincangan dengan pihak berkepentingan sedang dijalankan untuk memperkukuh reformasi undang-undang perlindungan pemberi maklumat di negara ini. – HARAKAHDAILY 4/2/2025











