
KUALA LUMPUR: Kadar kejayaan pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia dilaporkan hanya mencapai 10 peratus menurut Laporan Tahunan 2023 Akademi Sains Malaysia (ASM).
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan hasil penyelidikan tempatan dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan, sekali gus memberi manfaat kepada industri dan ekonomi negara.
“Bagaimana kementerian mengukur tahap kejayaan pengkomersialan R&D, sedangkan kejayaan sebenarnya banyak tertakluk kepada penerimaan oleh industri ini.
“Selain itu, bagaimana kementerian meningkatkan penglibatan industri di dalam pengkomersialan R&D?,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata beliau mengakui bahawa terdapat kekangan dalam mengkomersialkan hasil R&D tempatan kerana terdapat jurang komunikasi antara penyelidik dan industri.
“Mungkin penyelidik kita bekerja secara bersendirian, maka industri pun tidak ada akses kepada akademia. Oleh itu, kementerian mengambil pendekatan kerajaan untuk memainkan peranan bagi memudah cara di antara penyelidik, akademia dan industri,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025











