
KUALA LUMPUR: Pesawah di negara ini semakin terhimpit dengan kenaikan mendadak kos pengeluaran padi, termasuk harga baja, racun dan benih, dalam masa sama mereka juga berdepan dengan harga lantai padi yang rendah.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) menyuarakan keluhan pesawah yang berdepan kenaikan harga benih padi daripada RM45 kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram.
Kata beliau, lebih membebankan, subsidi diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) tidak merangkumi jentera penting seperti jentolak, jentuai dan jentanam, menyebabkan kos operasi mereka terus meningkat.
“Mereka juga nak kerajaan tahu bahawa beras yang mereka keluarkan di pasaran yang dijual pada RM2.60 sekilogram kini sudah tidak ada, sekarang beras putih tempatan meningkat kepada sekitar RM3 hingga RM4 sekilogram.
“Soalan saya, dalam melestarikan kehendak dan dasar 73 ini, pesawah adalah komponen yang penting. Apakah kerajaan prihatin dan impati terhadap kesengsaraan, keperitan yang sedang dialami oleh pesawah?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tambahnya, pesawah turut meminta kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,800 per tan sebagai langkah untuk menjamin pendapatan mereka.
“Kalau pun harga padi dijual dibeli pada RM1,800 per tan daripada pesawah, mereka kekal B40 mereka tidak akan lonjak menjadi T20 atau T15,” ujarnya.
Menjawab isu itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Pertanian akan membentangkan kertas menteri dalam masa terdekat untuk mengumumkan kenaikan harga lantai padi.
Namun, katanya, kerajaan juga perlu memastikan kenaikan ini tidak membebankan pengguna dengan harga beras yang lebih tinggi.
“Jadi setakat ini saya ada bincang Kementerian Kewangan supaya kerajaan akan menampung lagi subsidi supaya harga pasaran beras tempatan bagi pengguna tidak dinaikkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025











