Harga lantai padi: Petani berjihad untuk jadi miskin?

Datuk Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adakah petani di negara ini ‘berjihad’ hanya untuk terus berada dalam kemiskinan susulan kenaikan harga lantai padi yang didakwa tidak seiring dengan peningkatan kos pengeluaran, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut).

- Advertisement -

“Saya ucap tahniah kepada kerajaan kerana menaikkan harga lantai padi daripada RM1,200 kepada RM1,300. Namun, hakikatnya kenaikan itu dilakukan enam bulan sebelum harga diesel naik.

“Kalau harga lantai naik RM100 tetapi kos diesel meningkat lebih daripada RM100, maka petani terus terbeban. Jika kos pengeluaran sudah mencecah RM1,500 satu tan tetapi harga lantai hanya RM1,300, apakah petani berjihad hanya untuk menjadi miskin?” soalnya.ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurutnya, bantuan yang diberikan kerajaan kepada petani memang dialu-alukan, tetapi jika ia hanya digunakan untuk menampung kos pengeluaran yang meningkat, maka bantuan itu tidak membawa makna yang sebenar.

“Yang penting sekarang adalah memastikan petani dapat terus hidup dan harga lantai padi perlu dikaji semula agar setimpal dengan kenaikan kos.

“Jika tidak, bantuan yang diberikan hanya menjadi penyelesaian sementara tanpa menyelesaikan masalah sebenar,” tegasnya.

Tegasnya lagi, beras putih tempatan kini sukar didapati di pasaran, dengan harga purata melebihi RM30, membebankan rakyat.

“Saya tidak mahu memperjuangkan keuntungan mereka yang menjual beras pada harga tinggi dan menjadi kaya raya, sedangkan petani terus menanggung beban.

“Oleh itu, saya menyeru kerajaan untuk menilai semula harga lantai padi agar lebih adil kepada golongan petani,” katanya.

Majoriti petani, katanya, telah menghantar memorandum kepada kerajaan bagi menyatakan ketidakcukupan bantuan yang diberikan dan menggesa supaya harga lantai dinaikkan. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -