Koordinasi bantuan lebih berkesan untuk Palestin

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran memperkukuh usaha membantu Palestin, termasuk meneliti keperluan menubuhkan kedutaan Malaysia untuk Palestin serta mengkoordinasikan bantuan kemanusiaan secara lebih berkesan. 

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, pembangunan semula Gaza memerlukan komitmen besar daripada masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia atas dasar kemanusiaan. 

“Selepas perang, kemusnahan di Gaza sangat besar. Lebih 25 juta rakyatnya kehilangan tempat tinggal. Jika ada bekas Timbalan Menteri mengatakan perlu selesaikan dahulu masalah rakyat di Malaysia. Saya mengatakan biarlah kalau dia tidak membantu tapi jutaan rakyat lagi yang akan membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kerajaan perlu lebih serius dalam mengkoordinasikan bantuan, termasuk menilai semula cadangan menubuhkan kedutaan Malaysia untuk Palestin yang bertempat di Jordan serta menyokong usaha NGO tempatan seperti penubuhan Malaysian Hall Gaza di wilayah Al-Hawa. 

“Jadi adakah pihak kementerian melihat ada keperluan untuk koordinasi penubuhan kedutaan Malaysia sama ada bersama dengan negara-negara OIC yang lain untuk memastikan bahawa usaha kita dalam soal kemanusiaan dan kempen berterusan bagi pembebasan Palestin yang mutlak itu dapat direalisasikan dengan sebaiknya?” soalnya.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan meneliti semua ruang yang ada untuk membantu Palestin, termasuk bekerjasama dengan negara-negara sehaluan (like-minded countries). 

“Kita akan meneliti dan meninjau apa jua ruang-ruang yang boleh kita jadikan sebagai suatu pakej. Ini bukan usaha satu negara Malaysia.

“Itu sebab saya katakan tadi kita akan mengumpulkan negara-negara yang sepemikiran supaya kita dapat membuat keputusan yang betul dan bersama-sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -