Minggu Al-Quds Sedunia tingkatkan solidariti Malaysia

- Advertisement -

CYBERJAYA: Penaung Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menyokong program ‘Minggu Al-Quds Sedunia’ yang akan berlangsung dari 25 Januari hingga 8 Februari 2025.

Program itu jelasnya, dianjurkan Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis sebagai usaha menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan pembebasan Al-Quds, terutama dalam suasana gencatan senjata yang sedang berlaku di wilayah berkenaan.

Menurut ADUN Batu Buruk itu, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan Al-Quds dari sudut sejarah, spiritual, dan perjuangan pembebasannya.

“Dengan penyertaan aktif masyarakat, kita mampu mewujudkan gelombang kesedaran yang lebih besar serta memberikan impak positif kepada saudara-saudara kita di Palestin,” katanya dalam sidang media di pejabat Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis, di sini hari ini.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat itu turut menekankan kepentingan sokongan padu masyarakat antarabangsa bagi memastikan pemulihan menyeluruh di wilayah tersebut, yang masih berada dalam keadaan kritikal meskipun konflik telah reda.

Majlis Pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia itu terangnya, akan diadakan pada 25 Januari 2025 bertempat di Dataran ABC, Perlis, manakala majlis penutup dijadualkan berlangsung pada 8 Februari 2025 di Machang, Kelantan.

Tambahnya, pelbagai aktiviti bermakna telah dirangka sepanjang program itu, termasuk forum dan wawancara Al-Quds, konvoi motosikal, karnival Al-Quds, serta himpunan sejuta ummah bertemakan ‘Cintakan Al-Quds’.

Menurut Dr Muhammad Khalil, program itu juga bertujuan mewujudkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan sejarah dan spiritual Al-Quds serta perjuangan pembebasannya. 

“Yang kedua, menjadi platform sokongan dan solidariti daripada rakyat Malaysia terhadap notis bersempena dengan sambutan di peringkat antarabangsa.

“Yang ketiga, menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam solidariti bersama rakyat Palestin memperkukuhkan perpaduan nasional dalam menyokong perjuangan Al Quds,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk turut serta dalam program itu sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Semoga usaha ini menjadi saksi kepada perbuatan kita sebagai sebuah negara yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan menegakkan keadilan demi kebebasan bersama,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin memaklumkan bahawa pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan berganding bahu dalam menjayakan Minggu Al-Quds Sedunia itu.

Menurut beliau, antara NGO yang terlibat termasuk PASRelief, Muslim Care Malaysia, Yayasan Permata Ummah, ARC dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

- Advertisement -

Turut serta ialah wakil daripada Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Al-Azhar, Yayasan Isra’ Malaysia, dan pelbagai lagi badan yang menyokong usaha itu. 

Ustaz Muhammad Hanif turut menjelaskan bahawa konvoi solidariti yang akan dibuat oleh ARC akan bermula di Perlis dan menjelajah ke seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

- Advertisement -