
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu berjaya menyampaikan Memorandum Bantah Penjualan 30 peratus saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada BlackRock.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali mengetuai serahan kepada dua wakil Pegawai Kanan Khazanah Nasional Berhad di ruang legar lantai bawah bangunan Mercu UEM, KL Sentral, di sini hari ini.
Syed Hassan berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak Khazanah kerana persediaan awal menerima memorandum itu walau hanya mendapat maklumat melalui media sosial.
“Hanya lima wakil sahaja dibenarkan berada di ruang legar tersebut sementara menunggu Pegawai Kanan Jabatan Perhubungan Awam turun untuk menerima memorandum dan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit,” katanya dalam kenyataan.
Antara wakil NGO yang hadir termasuk Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa bersama aktivis masyarakat, Zahrah Sulaiman dan Tian Chua serta peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Pada 15 Mei lalu, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan ia kini menerajui konsortium Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham dalam MAHB yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.
Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partner (GIP) menerusi GIP Aurea Pte Ltd.
Susulan itu, beberapa pihak telah menyuarakan bantahan serta kebimbangan ke atas cadangan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada GIP yang juga subsidiari BlackRock, sebuah firma pelaburan dikatakan pro-Israel. – HARAKAHDAILY 17/1/2025











