
KUALA LUMPUR: Penjualan produk dengan logo Halal tidak sah adalah satu penipuan dan boleh menyebabkan kekeliruan kepada umat Islam dalam membuat keputusan tepat mengenai makanan yang dibeli.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa sehubungan itu meminta pihak berkuasa yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pihak berkenaan.
Jelasnya, pengeluar dan pengedar yang menggunakan logo Halal palsu serta menjual produk mengandungi bahan tidak halal mesti ditangani demi menjaga kepentingan umat Islam terhadap makanan dipasaran.
Beliau menzahirkan kebimbangan serius mengenai isu penjualan produk sandwic ‘ham dan cheese’ di rangkaian kedai serbaneka KK Mart seperti di Universiti Malaya (UM), di sini baru-baru ini.
“Isu ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang bergantung sepenuhnya pada pengesahan Halal yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa yang diamanahkan.
“Iaitu (kepada) Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kejadian ini menunjukkan bahawa masih ada (lope hole) kekurangan dalam pengawasan produk yang berada di pasaran
“Khususnya dalam memastikan bahan dan logo halal yang digunakan adalah sah dan diakui,” katanya kepada Harakahdaily.
Tambah beliau, syarikat pengeluar di seluruh negara perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan produk dijual mereka mematuhi standard Halal yang sah dan diiktiraf JAKIM serta mematuhi undang-undang ditetapkan.
UMMAH juga katanya, menyeru pihak berkuasa, termasuk JAKIM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat dalam penjualan produk ini.
“Selain itu, kami juga mendesak agar langkah-langkah penguatkuasaan lebih ketat dan pemeriksaan yang lebih menyeluruh dijalankan untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang di masa depan.
“Kami juga menyeru umat Islam di seluruh negara untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih produk dan memastikan produk yang digunakan mendapat pengesahan halal yang sah daripada pihak berkuasa,” ujarnya.
Justeru itu katanya lagi, UMMAH akan terus memperjuangkan kepentingan umat Islam dan memastikan tiada pihak yang memanipulasi isu halal demi keuntungan semata-mata.
UMMAH juga menurut Mohd Zai, tidak akan teragak-agak mengadakan kempen bantahan terhadap mana-mana perniagaan yang cuba mencuri pasaran umat Islam menggunakan logo Halal palsu. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











