
KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu bertindak segera menangani hakisan pantai yang semakin serius di Kampung Tanjung, Batu Rakit, dengan mengangkat permohonan peruntukan sebanyak RM600,000 di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, permohonan itu meliputi kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan yang lebih serius.
Menurutnya, fenomena Monsun Timur Laut (MTL) telah menyebabkan kerosakan jalan yang teruk, sekali gus mengancam keselamatan penduduk dan harta benda di kawasan tersebut.
“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap isu hakisan pantai yang berlaku di Kampung Tanjung.
“Bagi menangani masalah ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengangkat permohonan peruntukan di bawah MARRIS,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut Hanafiah berkata, dua pendekatan utama akan diambil bagi menyelesaikan masalah itu, iaitu membina struktur rock revetment sepanjang 400 meter dengan kelebaran 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan dan membuat pembaikan terhadap jalan sedia ada yang telah rosak.
“Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan peruntukan MARRIS dan keadaan semasa ombak akibat MTL.
“Langkah ini penting bagi memastikan hakisan pantai tidak bertambah buruk dan untuk menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk Kampung Tanjung,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu berkata, kerajaan negeri komited untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur dan alam sekitar demi memastikan kehidupan rakyat terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











