
KOTA BHARU: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Kelantan menjangkakan semua hotel di negeri ini, tanpa mengira kategori, akan menerima sambutan positif sempena cuti sekolah yang bermula 17 Januari.
Jumlah penginap di hotel termasuk rumah tumpangan juga dijangka bertambah berikutan cuti Tahun Baru Cina hujung Januari ini.
Setiausaha Kehormat MAH Kelantan, Muhammad Azrin Zainal Abidin, berkata, pihak hotel kini giat membuat persiapan untuk memastikan semua bilik berada dalam keadaan terbaik.
Menurutnya, selain memastikan bilik bersih dan selesa, kakitangan hotel turut diberi penekanan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada tetamu.
“Kakitangan hotel adalah duta kecil bagi hotel dan juga tempat-tempat tumpuan pelancong di Kelantan.
“Mereka bertanggungjawab menyampaikan maklumat positif kepada tetamu luar berkaitan Kelantan khususnya tempat-tempat yang menarik untuk dijunjungi,” katanya.
Tambahnya, tempahan bilik hotel di Kelantan kini berada pada kadar 50 peratus, tetapi trend menunjukkan peningkatan menjelang cuti sekolah.
Menurut beliau, kebanyakan pelancong membuat tempahan pada saat akhir, sama ada melalui laman sesawang, aplikasi dalam talian, atau terus menghubungi pihak hotel.
“Kami berharap cuaca baik sepanjang cuti ini agar lebih ramai pelancong dapat datang ke Kelantan dan melawat tempat-tempat menarik yang terdapat di sini,” tambahnya.
Azrin yang juga Pengurus Jewels Hotel seterusnya berkata, biarpun Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 telah berlalu, namun MAH tetap membuat promosi bagi menarik pelancong berkunjung ke negeri ini.
Tambahnya, industri perhotelan terus berusaha mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pilihan bagi, meneruskan kesinambungan kempen TMK walaupun telah berakhir. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











