Institusi pendidikan perlu bebas campur tangan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan di negara ini perlu dijauhkan daripada sebarang cengkaman atau campur tangan politik dengan jawatan di dalam Lembaga Pengarah Universiti haruslah diberikan kepada golongan profesional.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Khidmat Gombak, Mohd Iqman Iberahim mengulas pelantikan Datuk Nurul Hidayah, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Jawatan dalam Lembaga Pengarah haruslah diberikan kepada golongan profesional yang mempunyai latar belakang pendidikan, pengalaman, serta pemahaman mendalam terhadap cabaran dan keperluan semasa dunia akademik.

“Apabila lantikan seperti ini dibuat berdasarkan hubungan kekeluargaan atau politik, ia bukan sahaja berpotensi mencetuskan fitnah, malah melemahkan keyakinan rakyat terhadap keadilan dan ketelusan sistem pentadbiran negara.

“Dalam keadaan rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial, keputusan sebegini perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan mempertimbangkan kepentingan bersama, bukan kepentingan individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambah Iqman, perkara berkenaan adalah penting bagi menjaga integriti pendidikan negara untuk terus bergerak bebas.

“Dengan cara ini, institusi pendidikan kita dapat berkembang sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Demi menjaga integriti pendidikan negara, kita semua harus memastikan bahawa keputusan sebegini dilakukan secara telus, adil, dan berpaksikan kepada kebajikan pendidikan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -