Kesilapan berulang syarikat pernah terima anugerah?

Selepas isu stoking kalimah Allah, kini sandwic 'ham & cheese'

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: KK Mart selepas terpalit isu stoking bertulis kalimah ‘Allah’ pada Mac tahun lalu, kini jualan sandwic ‘ham & cheese’ menggunakan logo Halal palsu pula dijual di kedai serbaneka itu di Universiti Malaya (UM).

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Khidmat Gombak, Mohd Iqmal Iberahim menegaskan, isu halal dan haram seharusnya menjadi perkara asas yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana syarikat peruncitan di negara ini.

“Ini bukan kali pertama KK Mart terpalit dengan isu seperti ini. Sebelum ini, pernah timbul isu stoking dengan tulisan kalimah Allah yang mengundang kecaman ramai. Kini, makanan tidak halal pula dilaporkan terlepas masuk ke dalam rangkaian kedainya.

“Bagaimana kelemahan seperti ini boleh berlaku dalam sebuah syarikat yang pernah menerima anugerah pengurusan terbaik?” persoalnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Gesa beliau, tindakan tegas perlu diambil terhadap KK Mart dan mendesak pihak kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk segera campur tangan bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Keutamaan terhadap isu halal dan haram sepatutnya menjadi perkara asas yang tidak boleh dikompromi, apatah lagi di negara seperti Malaysia, di mana majoriti rakyatnya adalah Muslim dan amat sensitif terhadap status halal makanan.

“Sebagai langkah ke hadapan, campur tangan kerajaan, badan agama seperti JAKIM dan kementerian berkaitan adalah amat diperlukan.

“Hukuman yang setimpal perlu dikenakan agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak, dan memastikan SOP (prosedur operasi standard) yang lebih ketat dikuatkuasakan dalam industri peruncitan.

“Isu ini tidak boleh dipandang remeh. Ia bukan sekadar soal kesilapan pengurusan, tetapi menyentuh kepercayaan umat Islam dan keharmonian hidup masyarakat di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -