
KUALA LUMPUR: Sekretariat Kedaulatan Agama Negara (SKAN) menyeru umat Islam di seluruh negara untuk mengadakan Solat Hajat dan membaca doa Qunut Nazilah selepas solat Isyak pada Khamis, 16 Januari 2025.
Pengerusi SKAN, Masridzi Sat berkata, langkah itu diambil sebagai solidariti terhadap penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Menurutnya, mereka berdepan saman daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkaitan dakwaan pendedahan agenda Kristianisasi dalam buku ‘Becoming Hannah’.
“Kami memohon bantuan Tuan-tuan Guru, alim ulama dan seluruh umat Islam di mana saja berada agar dapat melakukan solat hajat dan doa Qunut Nazilah,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) itu berharap Allah SWT mengabulkan segala hajat, memberikan kemenangan kepada Islam dan umat Islam di seluruh dunia.
“(Termasuk memberi kemenangan) di bumi Palestin dan di negara kita Malaysia khususnya kes Dr Kamarul dan Tan Sri Musa Hassan ini.
“Serta mengalahkan dan memusnahkan semua saman dan segala serangan Hannah Yeoh dan sekutunya, amin-amin-amin,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025












