Kempen Jom Solat tarik warga berjemaah di masjid

Ustaz Ismi memberikan sampul berisi wang kepada kanak-kanak yang hadir menunaikan solat Subuh
- Advertisement -

PARIT: Kempen Jom Solat anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Parit yang disemarakkan sempena bulan Rejab terus mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, kempen itu diserukan kepada semua golongan, termasuk warga tua, kanak-kanak, lelaki, wanita, penduduk kampung, masyarakat bandar dan Orang Asli.

“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan solat berjemaah dan mengeratkan hubungan komuniti antara satu sama lain. Alhamdulillah, pada pagi ini, solat Subuh berjemaah diadakan di Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar.

“Kehadiran saya secara spontan pada pagi ini tanpa dirancang nyata menceriakan anak-anak yang rutin menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid tersebut,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial.

Beliau yang turut dikenali dengan panggilan Ustaz Ismi turut menyampaikan 28 sampul berisi wang belanja persekolahan kepada kanak-kanak yang hadir menunaikan solat Subuh sebagai penghargaan dan motivasi kepada nereka.

Selain itu, Ustaz Ismi juga meluangkan masa bertanya khabar dan berbual mesra dengan penduduk setempat, menjadikan program ini lebih bermakna sebagai platform merapatkan ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan cadangan penganjuran Program Subuh Macam Jumaat dalam masa terdekat yang dijangka menjadi platform dakwah dan pemerkasaan solat berjemaah di kalangan komuniti.

“Jom Kita Solat menjadi seruan utama untuk menggalakkan semua pihak menjadikan solat sebagai keutamaan dalam kehidupan harian.” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -