ADUN Semenyih cakna isu trafik di BSP dan BBM

Nushi Mahfodz telah menghadiri mesyuarat bersama JKR Bangi Heights dan TNB untuk membincangkan isu trafik di persimpangan empat Bandar Seri Putra (BSP) ke Bukit Mahkota (BBM). (FOTO: FB/Nushi Mahfodz)
- Advertisement -

HULU LANGAT: ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz telah menghadiri mesyuarat bersama pihak berkuasa bagi menangani isu trafik di persimpangan empat Bandar Seri Putra (BSP) ke Bukit Mahkota (BBM).

- Advertisement -

Nushi berkata, perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan lampu isyarat di kawasan itu dapat berfungsi dengan lebih lancar.

“Buat masa ini, sistem lampu isyarat di susur keluar dari Bandar Seri Putra ke Bangi Avenue menggunakan lampu kuning sebagai langkah sementara.

“Langkah keselamatan tambahan di laluan dua lorong yang bertemu menjadi satu lorong di hadapan Nasi Lemak Royale turut dibincangkan.

“Semua ini masih dalam fasa percubaan dan pemantauan oleh Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, perbincangan turut menumpukan kepada penambahbaikan isu masa kelewatan dan keselamatan trafik di kawasan ini.

“Berita positif yang dikongsikan dalam mesyuarat adalah kelulusan permit daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk meneruskan projek pelebaran jalan dari tol Putra Mahkota ke persimpangan BSP. 

“Selain, menyambung pelebaran yang telah disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Beliau berkata, projek itu sedang dirancang secara rapi dengan sasaran untuk disiapkan menjelang pertengahan tahun ini.

“Mesyuarat ini mencerminkan komitmen pihak-pihak terbabit untuk mencari penyelesaian berkesan demi kelancaran trafik dan keselamatan masyarakat.

“Semoga usaha ini mampu mengurangkan kesesakan yang setiap hari menjejaskan rutin penduduk, membuang masa dan banyak menguji kesabaran mereka sejak beberapa tahun ini,” katanya.

Terdahulu, pihaknya telah menghadiri mesyuarat bersama JKR Bangi Heights dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membincangkan isu trafik itu pada Khamis lalu demi keselesaan penduduk. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -