UMT cadang langkah hibrid atasi hakisan pantai

Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir ketika ditemui media, di Wisma Darul Iman, hari ini.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencadangkan penggunaan langkah hibrid, iaitu gabungan pemecah ombak (breakwater) dan tukun, sebagai penyelesaian alternatif bagi menangani isu hakisan pantai yang semakin meruncing di negeri ini.

- Advertisement -

Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam satu pertemuan yang diadakan hari ini.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar sebentar tadi, kita telah utarakan cadangan ini.

“Maksudnya, ia antara solusi alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan selain projek pembinaan pemecah ombak yang sedang dilaksanakan ketika ini,” ujarnya ketika ditemui media, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Fadzil berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan pasukan penyelidik UMT, penggunaan tukun berperanan penting dalam mengurangkan impak ombak besar serta melindungi pesisir pantai daripada hakisan.

“Tukun sebenarnya boleh mengurangkan impak gelombang dan memberi perlindungan daripada ombak, apabila kita letakkan tukun di antara pemecah ombak, ia boleh mengurangkan hakisan.

“Justeru, kita cadangkan tukun-tukun tiruan turut diletakkan secara tersusun di pesisir pantai yang berisiko di negeri ini,” ujarnya.

Menurut beliau, meskipun kerajaan telah memulakan projek pemecah ombak untuk mengatasi masalah itu, pembangunan infrastruktur tersebut masih belum selesai dan hanya dijangka siap pada 2026.

“Kalau ikutkan perancangan, pembinaan benteng pemecah ombak siap sepenuhnya pada 2026, jadi bila tidak siap sepenuhnya memang akan ada kesan bila berlaku gelombang besar.

“Justeru,dalam tempoh tersebut kita kena bersedia dengan alternatif tertentu kalau ada ribut atau gelombang besar yang datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -