
KUALA TERENGGANU: Dakwaan bahawa Mahkamah Syariah tidak mengikut kerangka Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) dianggap tidak berasas.
Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, berdasarkan Perkara 1 UNCAT, hukuman yang dilaksanakan berlandaskan undang-undang sah tidak termasuk dalam kategori penyeksaan sebagaimana ditegah oleh konvensyen itu.
Beliau memetik peruntukan UNCAT yang menyatakan, “Untuk tujuan Konvensyen ini, istilah ‘penyeksaan’ bermaksud sebarang perbuatan yang menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang teruk, sama ada fizikal atau mental.
“Yang dengan sengaja dikenakan ke atas seseorang untuk tujuan seperti mendapatkan maklumat atau pengakuan daripada individu tersebut atau pihak ketiga, menghukumnya atas suatu perbuatan yang telah dilakukan oleh individu tersebut atau pihak ketiga.
“Atau disyaki telah dilakukan, atau untuk menakut-nakutkan atau memaksa individu tersebut atau pihak ketiga, atau atas apa-apa alasan berdasarkan diskriminasi dalam apa jua bentuk.
“Penyeksaan ini dilakukan oleh, atas arahan, dengan persetujuan, atau pembiaran pegawai awam atau individu lain yang bertindak atas kapasiti rasmi.
“Ia tidak termasuk kesakitan atau penderitaan yang timbul semata-mata daripada, secara semula jadi berkait, atau insidental kepada hukuman yang sah,” kemukanya pada sidang media di pekarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.
Menurutnya, Malaysia mempunyai keistimewaan dalam menerapkan perundangan domestik berlandaskan prinsip Islam bagi umat Islam yang diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Meskipun Malaysia adalah sebahagian komuniti antarabangsa, penafsiran hak asasi manusia perlu diseimbangkan dengan nilai dan budaya tempatan serta Islam sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi ruang untuk undang-undang syariah beroperasi, khususnya pelaksanaan sebatan ini,” katanya.
Beliau menukilkan alasan penghakiman Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid lawan Kerajaan Negeri Kelantan [2024] 3 CLJ 323, yang memperakui bahawa undang-undang Islam di Malaysia boleh beroperasi secara bebas untuk melaksanakan bidangkuasanya.
Antara lain petiknya, penghakiman itu menyatakan, “[87] Apa yang dapat kami jelaskan daripada perkara di atas adalah seperti berikut. Sistem undang-undang umum di Malaysia cenderung ke arah sekular tanpa menjadi sepenuhnya sekular.
“Maksudnya, sumber undang-undang kita tidak sepenuhnya berasal daripada hukum ilahi atau hukum Islam, dan sebab mengapa kita bukan sebuah negara yang sepenuhnya sekular adalah kerana Perlembagaan Persekutuan (FC) memberikan sedikit ruang untuk penggubalan dan pelaksanaan undang-undang Islam.
“Dalam hal ini, kita adalah sebuah negara unik dengan sistem undang-undang campuran atau dua gabungan undang-undang sekular dan Islam yang berfungsi secara bebas antara satu sama lain,” petiknya. – HARAKAHDAILY 27/12/2024











