
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan kepentingan tauhid sebagai asas utama kehidupan manusia dan penyelesaian kepada masalah masyarakat.
Beliau menjelaskan bahawa tauhid yang terkandung dalam kalimah ‘lailahaillallah’ membawa maksud bahawa Allah adalah satu-satunya yang disembah, dikasihi, dimuliakan, dan diyakini Maha Besar kepada-Nya, terhadap-Nya dan kerana-Nya.
Menurut beliau, tauhid adalah dasar kepada pengutusan para Rasul dan penurunan kitab suci, yang menjadi pemisah antara Mukminin dan Kafirin, dan akhirnya menentukan tempat mereka sama ada di syurga atau neraka.
“Ini tuhan hitung kepada kepercayaan dia dengan ‘lailahaillallah’. Termasuk kena terima hukum Dia. Apa saja hukum Dia,” katanya semasa menyampaikan kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Tuan Guru juga mengkritik pandangan yang menolak pelaksanaan hukum Allah, seperti hukuman terhadap pesalah zina.
Beliau memetik surah An-Nur ayat 2, yang menetapkan hukuman sebat kepada pesalah zina dengan disaksikan oleh sekumpulan orang beriman.
“Disebut dalam Quran. Ini (ada yang) buta Quran, tak reti. Ini buta Quran nak lawan hukum tuhan. Tuhan kata disaksikan oleh satu kumpulan orang ramai menyaksikan. Ini disebut dalam Quran. Kita kena buatlah. Ini (ada yang) kata tak boleh, malu dia. Malu apa?” tegasnya.
Beliau juga memetik dalam ayat yang sama daripada surah An-Nur, yang menekankan supaya tiada belas kasihan dalam menegakkan hukum Allah.
“Disebut dalam Quran. Quran sebut. Ni Quran sebut pun (ada yang) lawan juga? Ini tak ada tauhid Uluhiyyahlah ni. Oh malu dia tak boleh? Hak-hak asasi manusia. Buat maksiat pakai kelih (dilihat dengan jelas) tak malu pula? Pelik.
“(Tak) Tutup aurat. Pakai pakaian telanjang pakat tengok hok itu tak apa? Nak hukum (di hadapan orang ramai) hok buat maksiat tak boleh malu dia? Dedah tubuh dak malu? Macam mana jadi terbalik? jadi terbalik,” jelas Tuan Guru.
Ahli Parlimen Marang itu memetik surah Al-Mulk ayat 22, yang membandingkan orang yang berjalan dengan kepala ke bawah dengan orang yang berjalan dengan betul.
“Adakah orang berjalan dengan kepala ke bawah atau jalan dengan betul mana yang lebih betul? Hok jalan kepala bawah betul ke jalan dengan kaki betul? Jalan dengan kakilah betul.
“Ini jalan menonggeng kepala bawah betul pula dah. Ini jadi terbalik,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2024











