
MARANG: Berdasarkan data kedatangan pelancong pada tahun ini, Terengganu mencapai sasaran iaitu menarik lebih tujuh juta pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, data terbaru pada Disember ini mencatat kehadiran lebih tujuh juta pelancong ke negeri ini.
Sedangkan, katanya kerajaan negeri pada peringkat awal menyasarkan kira-kira 3.5 juta pelancong bertandang ke negeri ini.
“Sektor pelancongan merupakan sektor kedua selepas petroleum dan gas menyumbang hasil kepada Terengganu.
“Namun ia tidak memberi pulangan besar kepada hasil kerajaan negeri, hanya sekitar 15 peratus daripada jumlah hasil tahunan,” katanya yang juga ADUN Kijal ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya juga, faktor tarikan utama pelancong datang ke negeri itu kerana mempunyai kawasan pantai yang panjang sehingga 340 km dari Besut ke Kemaman.
Selain itu terdapat enam pulau yang menjadi tumpuan pelancong terutamanya dari Asia Barat dan Eropah. – HARAKAHDAILY 27/12/2024











