PASTI beri impak positif kepada murid, masyarakat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Keberadaan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bukan sahaja memberikan manfaat kepada murid, sebaliknya turut memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, perkara berkenaan dapat dilihat menerusi perbualan-perbualan masyarakat mengenai PASTI di kawasan mereka.

“Pada waktu awal pagi, kita buat perhimpunan di depan PASTI kita dan ketika itu anak-anak kita berbaris, mereka berikrar, kemudian nyanyi lagu PASTI, baca hadis.

“Ketika itu orang kampung dan orang taman yang lalu-lalang di kawasan perumahan itu, yang lalu di depan kawasan PASTI, mereka melihat guru-guru PASTI dengan begitu teliti, dengan begitu santun sedang mendidik anak-anak kita.

“Ini memberikan kesan yang besar kepada masyarakat. Saya mendengar perbualan masyarakat sangat banyak. Mereka terkesan dengan PASTI. Kalau ada PASTI di taman tersebut, jika ada PASTI di kampung tersebut, ia menceriakan suasana tempat itu. Seronok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali ke-15 (Sidang 2) di sebuah hotel, di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, PASTI turut berjaya mendidik anak-anak murid pusat pendidikan itu untuk hidup bermasyarakat walaupun dengan berlainan bangsa.

“Hari ini pula PASTI bergerak dengan lebih hebat. Antara yang saya tengok bila mana Tahun Baru Cina, kita boleh meraikan rakan-rakan non-Muslim yang berbangsa Cina di taman, di kawasan PASTI kita.

“Anak-anak PASTI kita datang bawa buah limau, kemudian bawa kad ucapan. Pergi ke rumah uncle-uncle dan aunty-aunty, kita bagi hadiah kepada mereka.

“Ini telah menunjukkan satu qudwah, satu akhlak yang sangat baik. Daripada kecil lagi kita membentuk anak PASTI kita untuk mengenal erti bagaimana kita hidup bermasyarakat.

“Saling hormat-menghormati sesama kita, walaupun kita berbeza agama dan berbeza bangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/2024

- Advertisement -