Gajet jadi sumber rujukan generasi masa kini

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dunia yang semakin berkembang maju dan moden telah memberikan banyak cabaran kepada para pendidik dalam mendidik generasi pada masa kini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia berikutan terdapat banyaknya teknologi yang boleh didapati hanya menerusi telefon pintar dan internet.

“Cabaran hari ini begitu banyak, pelajar tidak perlu ke sekolah untuk pandai. Cukup dengan mereka membuka telefon untuk mereka menjadi cerdik dan pandai.

“Pelajar tidak perlu berguru dengan guru untuk menjadi pandai. Cukup dengan mereka berguru dengan ChatGPT, AI (kecerdasan buatan) untuk jadi pandai.

“Fenomena bersumberkan gajet sepenuh masa, menjadikan gajet sebagai rujukan semua perkara. Fenomena ini sebenarnya tidaklah begitu menyihatkan pertumbuhan generasi.

“Kerana tidak ada penapis yang dapat menapis mana yang baik, mana yang buruk melainkan diri mereka sahaja. Iman yang ada di dada dan ilmu yang diperturunkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali ke-15 (Sidang 1) di sebuah hotel, di sini semalam.

Menyedari akan perkara berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, Institut Latihan PASTI Malaysia telah ditubuhkan bagi mendepani cabaran tersebut.

“Atas sifat itulah, PASTI yang berada di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menubuhkan Institut Latihan PASTI Malaysia dan menghasilkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak atau DPAK ini.

“Tujuannya adalah untuk para guru memiliki segala kelengkapan dan keperluan untuk melatih generasi-generasi yang ada sekarang untuk berhadapan dengan zaman mereka 20 tahun akan datang.

“Kita mengajar murid kita pada hari ini bukan untuk suasana kita pada waktu ini. Tetapi kita mengajar, mendidik, membimbing, mentarbiah mereka.

“Untuk mereka hidup dalam suasana mereka pada tahun akan datang, pada zaman mereka nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/2024

- Advertisement -