Sweden henti biayai UNRWA, cari saluran lain bantu Gaza

Tindakan itu diambil sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dilakukan Israel. (FOTO: Anadolu Ajansi)
- Advertisement -

STOCKHOLM: Sweden akan mula menghentikan pembiayaannya ke Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), sebaliknya akan menyediakan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui saluran lain.

- Advertisement -

Menteri Bantuan Kemanusiaan, Benjamin Dousa berkata, keputusan untuk menamatkan pembiayaan kepada UNRWA adalah sebagai tindak balas kepada larangan Israel yang menyukarkan saluran bantuan kepada rakyat Palestin melalui agensi tersebut.

“Sweden merancang untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan keseluruhannya ke Gaza pada tahun depan. Terdapat beberapa organisasi lain di Gaza, saya baru sahaja ke sana dan bertemu dengan beberapa daripadanya.

“Program Makanan Dunia PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) merupakan salah satu penerima berpotensi yang akan digunakan untuk menyampaikan bantuan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Israel akan melarang operasi UNRWA di negaranya mulai akhir Januari, dan telah berulang kali menuduh agensi tersebut terlibat dalam serangan pada 7 Oktober tahun lalu terhadap negara haram itu kemudiannya mencetuskan perang yang masih berlangsung sehingga hari ini.

Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini memberikan sokongan kepada UNRWA, menuntut agar Israel menghormati mandat agensi tersebut dan membolehkan operasinya berjalan tanpa halangan atau sekatan. – Agensi / HARAKAHDAILY 20/12/2024

- Advertisement -