Pelantikan Thaksin risiko tinggi kepada Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu mengkaji semula pelantikan Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi kerajaan bagi memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa berkata, tindakan itu perlu kerana pelantikan mantan Perdana Menteri Thailand berkenaan akan menimbulkan keburukan dan kesan negatif yang sangat besar risikonya.

“Sekiranya Thaksin dilantik sebagai penasihat, imej ASEAN terjejas, berikutan beliau merupakan seorang yang bermasalah yang banyak terpalit dengan kontroversi dan skandal di Thailand.

“Beliau digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada tahun 2006, dituduh melakukan salah guna kuasa, dan telah hidup dalam buangan untuk mengelakkan hukuman penjara di negara asalnya.

“Pelantikan beliau boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap ASEAN sebagai sebuah organisasi yang sepatutnya menjaga nilai integriti, tadbir urus yang baik, dan neutral,” katanya ketika dihubungi _Harakahdaily_.

Menurut Mohd Zai lagi, pelantikan Thaksin bakal menimbulkan kritikan bahawa ASEAN tidak bersungguh menegakkan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia apabila beliau sendiri pernah menghadapi tuduhan penyalahgunaan kuasa dilantik sebagai penasihat kepada Malaysia.

Beliau turut berkata, pelantikan Thaksin boleh menyebabkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Thailand terjejas, memandangkan beliau adalah figura kontroversial yang kekal sensitif dalam kalangan golongan politik Thailand, termasuk pihak tentera dan istana.

“Kerajaan Thailand mungkin melihat langkah ini sebagai campur tangan terutama dalam isu dalaman mereka, disebabkan Thaksin masih dianggap sebagai tokoh politik yang ‘corrupt’,” ujarnya.

Tambah Mohd Zai lagi, pelantikan Thaksin sebagai penasihat turut memberi cabaran besar kepada ASEAN, termasuk isu Myanmar, Laut China Selatan, dan tekanan geopolitik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.

“Pelantikan tokoh kontroversi seperti Thaksin boleh mengalihkan perhatian daripada isu-isu utama yang lebih mendesak.

“ASEAN mungkin dilihat kurang serius atau tidak sensitif dalam memilih individu yang mampu memberi nasihat yang tidak membawa ‘damage’ politik.” katanya.

Justeru, beliau turut berkata Thaksin juga dikaitkan dengan agenda politik yang cenderung kepada kepentingan peribadi atau negara tertentu.

Hal ini boleh mewujudkan ketidakseimbangan dalam cara ASEAN menangani isu-isu yang melibatkan negara-negara anggota.

Sebagai penasihat, beliau berpotensi memperjuangkan agenda atau strategi yang lebih memihak kepada negara tertentu (termasuk Thailand), dan ini boleh menjejaskan prinsip kesepakatan ASEAN.

Mohd Zai turut mempersoalkan kebijaksanaan atau keutamaan dasar luar Malaysia dengan pelantikan Thaksin.

“Sedangkan masih ramai pakar dalam kalangan tempatan yang berkaliber dan berwibawa. Mengapa tidak diberi kepercayaan oleh PMX?” soalnya.

Beliau berkata, walaupun Thaksin mempunyai pengalaman dalam politik dan ekonomi serantau, pelantikannya sebagai penasihat kepada PMX dalam peranan ASEAN adalah langkah yang berisiko tinggi.

Katanya lagi, langkah ini bukan sahaja boleh mencetuskan kritikan terhadap Malaysia dan ASEAN, tetapi juga menjejaskan hubungan diplomatik serta kredibiliti organisasi serantau ini.

Oleh yang demikian, peranan penasihat harus diberikan kepada individu yang benar-benar bebas daripada kontroversi untuk memastikan fokus dan integriti ASEAN tidak tergugat. – HARAKAHDAILY 20/12/2024

- Advertisement -