
KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) mahu meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa arab khususnya kalangan pelajar sekolah di bawah kelolaannya.
Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman berkata, ia mempunyai potensi besar bukan sahaja dalam bidang agama, malah turut merangkumi sains, teknologi dan hubungan antarabangsa.
Maka tidak mustahil kata beliau, bahasa yang digunakan lebih 400 juta penduduk dunia itu diiktiraf sebagai bahasa rasmi antarabangsa seperti Perancis, Inggeris dan sebagainya.
“Kita harus memartabatkan Bahasa Arab dalam kalangan generasi muda yang bukan sahaja penting dalam konteks agama sahaja, tetapi aspek perkembangan ilmu sains, teknologi dan antarabangsa.
“Oleh itu kita bersama berusaha untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Arab bukan sahaja bahasa komunikasi, tetapi juga bahasa ilmu membuka pintu pelbagai peluang baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucapan pada majlis sambutan hari Bahasa Arab sedunia peringkat YIK yang diadakan di bangunan YIK Bandar Baru Tunjong, di sini semalam.
Tanggal 18 Disember 1973 katanya, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mencadangkan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi keenam badan dunia itu.
Malah setiap tahun kata Zulkifle lagi, pada tarikh terbabit seluruh penduduk dunia mengadakan Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia bagi memperingati dan menghargai pengiktirafan tersebut. HARAKAHDAILY 19/12/2024











