Adakah akan ada pihak lain undang wakil tentera luar?

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Garis panduan jemputan tetamu ke institusi pendidikan termasuk sekolah kerajaan dan swasta perlu dijelaskan oleh kerajaan agar dapat memberi impak positif terhadap hubungan dua hala.

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail merujuk kepada kontroversi baru-baru ini melibatkan sebuah sekolah di Pulau Pinang yang menjemput wakil Tentera Pembebasan Rakyat China dalam sebuah program.

“Jika jemputan seperti ini diteruskan, adakah akan ada pihak lain yang mungkin mengundang wakil tentera dari negara lain seperti Rusia, Amerika Syarikat atau India? Tidakkah ini akan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementerian telah mengeluarkan garis panduan dan perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pendaftar atau Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru dengan mematuhi syarat ditetapkan.

“Kita juga hendak memastikan bahawa kesemua urusan yang melibatkan orang kenamaan dan ahli politik perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian melalui Pengarah Pendidikan Negeri sebelum memasuki sekolah,” katanya.

Hussin Ismail dalam soalan asal meminta Menteri Pendidikan menyatakan syarat yang perlu dipatuhi bagi mana-mana institusi pendidikan tempatan yang menjemput pihak luar termasuk agensi negara asing untuk datang melaksanakan program dan aktiviti bersama-sama pelajar. – HARAKAHDAILY 19/12/2024

- Advertisement -