
BUENOS AIRES: Seorang juruterbang dan pembantu juruterbang terbunuh selepas sebuah pesawat persendirian terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Fernando (QAE), pada Rabu.
Pihak berkuasa lapangan terbang, Aeropuertos Argentina berkata, insiden itu berlaku selepas pesawat jenis Bombardier Challenger 300 itu tidak dapat membrek setelah mendarat.
Keadaan itu enyebabkan ia terkeluar dari landasan, merempuh pagar perimeter dan memasuki barisan rumah sebelum menyebabkan berlakunya letupan.
Anak kapal yang maut dalam insiden itu dikenal pasti sebagai Martin Fernandez Loza, 46 dan Agustin Orforte, 35, namun tiada penumpang lain berada di atas kapal.
Pesawat malang itu pada mulanya berlepas dari QAE, di pinggir bandar kira-kira jam 11:12 pagi waktu tempatan.
Pesawat itu kemudiannya terbang selama lebih setengah jam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Punta del Este di La Capuera (PDP), Uruguay dan mendarat kira-kira jam 11:44 pagi waktu tempatan.
Ia kemudiannya terbang semula ke QAE pada jam 12:44 tengahari dan mendarat pada jam 1:18 petang sebelum insiden malang itu berlaku. – Agensi / HARAKAHDAILY 19/12/2024











