Banjir: Perlis salur RM202,868 kepada petani terkesan

- Advertisement -

ARAU: Kerajaan Negeri Perlis menyalurkan pemberian insentif tunai berjumlah RM202,868 kepada 628 petani terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini pada September dan Oktober lalu.

- Advertisement -

Bencana tersebut telah memusnahkan tanaman melibatkan keluasan 526.47 hektar dengan anggaran kerugian mencecah RM2.9 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Perladangan Negeri, Razali Saad berkata, bantuan tersebut diberikan berdasarkan keluasan tanaman yang rosak dengan kadar maksimum RM500 per hektar dan minimum RM100 seorang.

“Penyaluran bantuan dilakukan secara sekali sahaja melalui pemindahan terus ke akaun penerima. Kerajaan negeri juga menghargai kerjasama pelbagai jabatan dan agensi yang membantu dalam pengurusan bencana banjir ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Tanaman di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simpang Empat, di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan langkah-langkah segera yang diambil, termasuk pemasangan pam air dan pembersihan halangan di saliran, manakala perancangan jangka panjang untuk menaik taraf sistem saliran kini dalam perbincangan.

“Dalam usaha mengurangkan beban petani pada masa akan datang, kerajaan juga memperkenalkan insurans takaful tanaman padi secara percuma selama empat musim bermula musim kedua 2024 hingga 2026,” ujarnya lagi.

Selain itu, Razali menggesa petani yang terkesan dengan banjir hujung November lalu untuk melaporkan kerosakan kepada PPK masing-masing sebelum 20 Disember 2024.

Kejadian banjir tersebut melibatkan kawasan tanaman seluas 4,333.48 hektar di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan luar MADA. – HARAKAHDAILY 19/12/2024

- Advertisement -