Polisi kesihatan Malaysia: Menjamin keselamatan ibu dan bayi

- Advertisement -

BEBERAPA ketika dahulu, ada satu pasangan yang bersalin di rumah. Menurut riwayat siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), si isteri bersalin dalam kolam permainan kanak-kanak dan tidak potong tali pusat sehingga beberapa jam lamanya. Katanya mereka belajar dari Doula dan percaya kepada kelahiran secara alami. Hujah mereka, gajah pun bersalin sambil berdiri tanpa bantuan doktor haiwan. Elok dan selamat sahaja gajah di hutan itu beranak pinak!

Masalah timbul apabila si bapa ingin buat pendaftaran kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pegawai JPN tidak mahu daftarkan anak mereka kerana tiada pengesahan kelahiran selamat oleh doktor atau penyambut kelahiran yang mahir.

Si bapa datang ke klinik dan paksa jururawat dan doktor supaya tandatangan di ruangan pengesahan kelahiran oleh anggota terlatih. Jururawat dan doktor di klinik menolak untuk tandatangan kerana kes tersebut sudah masuk dalam kategori kelahiran tidak selamat. Mereka tidak mahu bertanggungjawab jika berlaku apa-apa komplikasi buruk kepada si ibu dan anak tersebut pada kemudian hari. 

Berlakulah pertelagahan hangat di antara anggota terbabit dengan si bapa sehinggalah kes itu dirujuk kepada pakar. Pakar pun menegaskan perkara yang sama, kerana kes kelahiran di rumah yang tidak selamat bukan menjadi tanggungjawab mereka. Walaupun si bapa menyatakan bahawa kelahiran ini adalah masuk yang ke-4 dan kesemua anaknya dilahirkan di rumah dengan tangan dia sendiri menyambutnya, tiada masalah pun sebelum ini.

Menandatangani satu dokumen yang kita tidak pun terlibat di dalam proses itu adalah digelar sebagai pak turut dan pak sanggup kepada sesuatu. Jika berlaku apa-apa kemudaratan yang kita belum tahu nasib masa depan seseorang itu, maka kita akan dipertanggungjawabkan. Banyak soalannya nanti jika berlaku kematian atau seumpamanya untuk dijawab di peringkat yang tertinggi. Itulah yang dihujahkan oleh pihak kesihatan.

- Advertisement -

Akhirnya si bapa meninggalkan klinik dengan harapan yang sia-sia. Selepas itu, tidak tahu apa kesudahannya. Kemungkinan dia dapatkan tandatangan dari doktor swasta ataupun dia menipu tandatangan untuk kelulusan JPN. Wallahua’lam.

Terdetik di hati saya kalaulah dia betul-betul tidak mahu terlibat dengan sistem yang dibina dalam KKM ini, kenapa dia tidak pindah ke negara lain yang sesuai dengan kehidupan yang songsang itu?

Kerajaan komited menurunkan kadar kematian ibu dan bayi semasa tempoh kehamilan dan kelahiran. Tidak boleh disangkal, sejak selepas merdeka hingga sekarang kerajaan telah melakukan pelbagai cara bagi mencapai matlamat negara kita setanding dengan negara maju, iaitu kadar kematian ibu dan kadar kematian bayi yang rendah.

Pelbagai polisi diperkenalkan dari masa ke semasa antaranya perkhidmatan hospital dan klinik ditingkatkan, perkhidmatan rawatan di rumah diperkemaskan dan penjagaan ibu hamil dalam komuniti diberdayakan lagi. 

Ubat-ubatan terbaharu diluluskan sesuai dengan zaman terutamanya dalam rawatan kes-kes perdarahan semasa bersalin. Begitu juga kebenaran ubat-ubatan bagi mengurangkan berlakunya eklampsia (sawan akibat darah tinggi) boleh diberikan oleh anggota kesihatan terlatih dalam komuniti. Sebelum ini hanya terhad di hospital sahaja. Ianya memberi impak yang besar dalam mengurangkan kematian.

Sistem rujukan kepada fasiliti yang berkaitan juga ditambah nilai. Pesakit akan lebih mudah mendapat akses kesihatan dan diuruskan dengan mahir. Semakin kurang bidan-bidan tradisional yang mengamalkan rawatan kelahiran tidak selamat. Awal 90-an dahulu kerajaan menjalankan kursus khas kepada mereka. Mereka sedar kepentingan kelahiran selamat dan bagaimana ingin bertindak dalam situasi kecemasan.

Demi meningkatkan lagi taraf perkhidmatan ibu dan bayi, kerajaan telah memperkenal diploma lanjutan kepada bidan-bidan dan jururawat masyarakat. Sebenarnya dengan kemahiran yang semakin terkehadapan, sistem pengurusan dan penjagaan kesihatan ibu dan anak akan semakin terjamin.

Hairan juga dalam suasana terkini dan maya-pada ini ada lagi segelintir orang yang masih lagi berfikiran kolot dan tidak menerima sistem dan hukum yang telah ditetapkan dalam negara kita. Pembinaan polisi dan garis panduan bukan untuk menyusahkan kita, tetapi demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita juga sebagai rakyat dalam negara yang berdaulat. Bukannya kita hidup di zaman purba lagi.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga – HARAKAHDAILY 19/12/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -