
KOTA BHARU: Bagi perancangan tahun 2025, Urus Setia Penghulu Kelantan akan mempromosikan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Pengarahnya, Zulkifli Mamat berkata, ia bagi memberi galakan komuniti menyertai Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, usaha tersebut perlu diketuai oleh ketua komuniti khususnya penghulu selain menyemarakkan lagi dasar kerajaan negeri iaitu ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ (PMBI).
“Kerajaan sekarang ini duduk galakan benda ini, biar penghulu kita sahaja bercakap benda ni, promosi orang kampung jangan gerun kepada vokasional, pendidikan sains, teknologi dan sebagainya.
“Kelebihan kita di Kelantan kita sudah ada asas agama, sama ada langsung atau tidak langsung, kalau campur asas agama dengan TVET dan STEM, sangat cantik dan cukup baik,” katanya baru-baru ini.
Sebelum ini media melaporkan, NIMP 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri pada September tahun lalu, bakal menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.
Agenda tersebut tidak akan tertumpu kepada satu-satu sektor sahaja, malah bagi mencapai matlamat dan misi yang membuka peluang kepada generasi belia untuk menerokai bidang pekerjaan baharu.
Bahkan Anwar turut merumuskan empat perancangan bagi memacu perubahan industri negara bagi menghasilkan produk lebih canggih dan meningkatkan daya saing dalam pasaran antarabangsa. – HARAKAHDAILY 19/12/2024











