
KOTA BHARU: Almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya merintis sebuah pentadbiran berasaskan Islam dengan menterjemahkannya sepanjang tempoh pemerintahan.
Mantan Menteri Besar Kelantan yang memerintah dari tahun 1990 sehingga 2013 itu turut berjaya menunjukan kepada rakyat bahawa Islam boleh dijadikan dasar dalam pemerintahan kerajaan dalam abad ke-21.
Malah sejak 1990 lagi kerajaan negeri yang diterajui PAS sejak tahun tersebut dan diteruskan sehingga sekarang berjaya mengekalkan rekod pentadbiran bebas dari dakwaan rasuah di negeri ini.
Justeru Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bekerjasama Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) menganjurkan seminar mengenai ketokohan Menteri Besar Kelantan ke-17 itu.
KIAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, Seminar Ketokohan Tok Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan diadakan pada 23 Disember depan jam 8 pagi di Dewan Johor KIAS Nilam Puri.
Menurutnya seramai empat orang pembentangan kertas kerja terdiri daripada pengarah IPTG, mantan pengarah IPTG, Rektor KIAS dan pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Pengarah IPTG, Profesor Emeritus Dato’ Dr Johari Mat bakal membentangkan kertas kerja pada seminar itu yang bertajuk ‘Aplikasi Pentadbiran Islam Dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan’.
Sementara itu Rektor KIAS, Profesor Dr Mazlan Ibrahim turut membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘Tok Guru Tan Sri Dato’ Bentara Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ikon Perpaduan Kaum’.
Selain itu Penyelidikan Pemikiran Tok Guru Tok Guru Tan Sri Dato’ Bentara Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat; Trend, Cabaran dan Prospek Masa Depan oleh Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Khairulnazrin Mohd Nasir.
Bekas Pengarah IPTG yang pertama, Dr Che Samsudin Mohamed Noor selepas institut itu ditubuhkan pada 2013, membentangkan kertas kerja mengenai Manhaj Akidah Tok Guru Tan Sri Dato’ Bentara Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. – HARAKAHDAILY 19/12/2024












