
FIRMAN Allah SWT:
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Isra’: 70)
Manusia adalah makhluk Allah yang paling istimewa. Dikurniakan pelbagai macam kelebihan dari pelbagai sudut, antaranya:
1. Allah cipta manusia di tengah, antara alam mulki dan malakut. Jasmani manusia di alam mulki yang boleh dilihat, disentuh, dipegang dan dirasa, sementara rohani atau batin manusia di alam malakut, tersembunyi lagi halus serta sarat dengan rahsia.
2. Allah cipta dan posisikan manusia di antara langit dan bumi serta dijadikan makhluk lain untuk dimanfaat oleh manusia. Sungguh berharga dan tingginya manusia di sisi Tuhan sehingga alam seluruhnya diperuntukkan untuk mereka.
3. Allah cipta manusia mengandung seluruh rahsia alam semesta sehingga tubuh manusia diibarat ‘alam kecil’ atau seolah replika sebuah kota yang lengkap.
Buktinya, pada diri manusia terkandung sifat malaikat yang mulia dengan ibadah dan ma’rifah, juga sifat syaitan dengan maksiat dan keinginan untuk menyesatkan.
Pada diri manusia ada sifat haiwan, bagaikan singa ketika marahnya dan umpama anjing di ketika sifat tamak menguasai diri
Pada manusia ada sifat tumbuhan, permulaannya segar tetapi penghujungnya kering dan mati
Pada manusia ada sifat langit, tempat cahaya dan penuh rahsia. Terpancar darinya cahaya melalui matahari, bulan, bintang dan tersembunyi padanya pelbagai rahsia langit yang tidak mampu diteroka.
Pada manusia adanya sifat bumi yang subur dan menumbuhkan tumbuhan. Ada tumbuhan yang berguna, cantik dan menyegarkan sebagaimana akhlak yang baik dan menyenangkan. Tumbuh juga pokok yang kasar, berduri dan menikam seperti perilaku yang kasar dan menyakitkan.
Pada manusia adanya sifat syurga dan neraka. Syurga menyenangkan orang yang mendekati, sementara neraka menyakitkan bila dihampiri.
4. Ada manusia jasmaninya mengalahkan rohani, sehingga fikirannya berlegar mengenai makan, minum, berpakaian dan segala perhiasan yang memenuhi kemahuan jasadnya.
Andai kemahuan jasmani itu terlalu dituruti, taraf manusianya akan merendah setaraf haiwan
5. Ada manusia yang rohaninya mengalahkan kehendak jasad, sehingga keselamatan rohnya menjadi keutamaan. Jika dia berfikir mengenai jasad sekali pun, ia bertujuan untuk kepentingan rohani. Makan, minum dan rehatnya untuk kekuatan tubuh bagi tujuan kelancaran ibadah. Ketika itu taraf manusia meningkat, lebih tinggi dari para malaikat.
Tanya pada diri, sifat mana yang menguasai tubuh kita. Andai kita alpa, syaitan dan haiwanlah yang mengalahkan yang lain.
USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/12/2024











