Penanaman Harumanis berjalan mengikut jadual

- Advertisement -

ARAU: Penanaman harumanis di Perlis terus berjalan mengikut jadual meskipun terdapat cabaran cuaca, kata Pengerusi Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, Razali Saad.

- Advertisement -

Menurut beliau, usaha mengekalkan jadual penanaman adalah penting untuk memastikan kestabilan harga dan kos operasi.

“Jika hasil terlalu banyak pada satu masa, ia boleh menjejaskan harga pasaran. Oleh itu, kami berusaha mengekalkan proses penanaman secara terkawal dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Tanaman negeri di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simpang Empat, di sini hari ini.

Jelas Razali, permintaan terhadap harumanis biasanya tinggi sekitar bulan April hingga Jun.

“Kita dapat lihat, pada masa itu, ramai pembeli mula membuat pesanan awal, dan ini memberi kepuasan kepada mereka. Dengan cuaca yang semakin baik pada awal tahun ini, kita berharap hasil dapat dijangkakan dengan lebih positif,” tambahnya.

Razali turut menekankan pentingnya penyelarasan antara pejabat dan kawasan pengeluaran bagi memastikan setiap proses berjalan lancar dan memberi impak positif kepada pendapatan petani. – HARAKAHDAILY 19/12/2024

- Advertisement -