
KUALA LUMPUR: Pelantikan wakalah dan penerimaan pelantikan boleh dilakukan antara pihak-pihak terbabit dan peguam syarie melalui borang MS 5 yang difailkan di mahkamah.
Pindaan itu membolehkan lafaz wakalah dilakukan tanpa kehadiran fizikal di hadapan mahkamah atau pendaftar, sekali gus mempermudahkan urusan bagi semua pihak yang terlibat.
Namun, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menimbulkan beberapa kebimbangan tentang pelaksanaan pindaan rang undang-undang berkaitan khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman kerana kemungkinan besar tiada liputan internet.
“Apakah kerajaan menyediakan alternatif lain seperti suatu tempat khas yang mempunyai kelengkapan teknologi lengkap yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka?
“Selain itu, bagaimana mahkamah akan memastikan prosiding ini tidak terganggu sekiranya berlaku gangguan teknikal?
“Seterusnya mengenai isu keselamatan data, apakah jaminan kerajaan dan apakah ada prosedur operasi standard (SOP) atau panduan mekanisme untuk memastikan data dan kerahsiaan maklumat?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Begitupun, beliau menyambut baik pindaan itu yang bertujuan mempermudah proses pelantikan peguam syarie tanpa perlu kehadiran di hadapan pendaftar atau mahkamah. – HARAKAHDAILY 19/12/2024











