
KUALA TERENGGANU: EXCO Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim menyeru badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis pencinta haiwan mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap isu anjing liar yang semakin meruncing.
Beliau mengakui bahawa kehadiran anjing liar telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan langkah konkrit perlu diambil segera.
“Kita semua setuju bahawa anjing liar telah mencetuskan pelbagai masalah kepada kehidupan masyarakat. Ia tak perlu dihuraikan lagi. Pihak kerajaan perlu ada suatu solusi.
“Berdiam diri serta dalam masa yang sama populasi anjing liar semakin bertambah bukanlah suatu tindakan yang bijak.
“Sebagai Exco yang bertanggungjawab kepada Jabatan Veterinar, saya juga ada dihubungi oleh aktivis dan NGO pencinta haiwan meluahkan kekesalan mereka dengan peristiwa yang telah berlaku.
“Dengan penuh hormat, saya mohon aktivis dan NGO yang berkenaan supaya mengemukakan satu solusi alternatif bagi mengatasi isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi turut mencadangkan pembinaan pusat perlindungan bagi menempatkan haiwan liar sebagai salah satu langkah proaktif.
“Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya. Apakah pihak NGO bersedia untuk mengusahakan pembinaan sebuah pusat perlindungan bagi haiwan liar dan berkeliaran agar masyarakat tidak lagi terganggu dengan kehadiran spesis ini? Setakat ini tiada jawapan kepada soalan yang diajukan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan dilaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Nur Huwaidah Umayrah Abdullah, menjadi mangsa serangan anjing liar di kawasan Endau, Mersing, Johor.
Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa lalu, mangsa cedera di muka, bahu dan lutut kiri selepas terjatuh ke dalam longkang akibat dikejar oleh haiwan tersebut. – HARAKAHDAILY 19/12/2024











