
BENJAMIN NETANYAHU melawat Jabal al-Syeikh, Bukit Golan yang diceroboh oleh tentera Zionis Israel sejurus jatuhnya Basyar al-Assad. Beliau berkata; tentera Zionis Israel akan berada di sini sehingga tahun 2025. [1][2]
Mengikut sumber dari Syria dan laporan dari beberapa sumber menyatakan bahawa tentera Zionis Israel menceroboh Syria dengan helikopter dan menurunkan tentera komando di salah sebuah kem tentera berhampiran Damsyik sebelum beredar 20 minit selepas itu tanpa diketahui apakah sebabnya. Mengikut satu sumber, operasi tersebut bertujuan mencari dan membawa pulang sisa tulang agen Mossad, Eli Cohen yang dihukum gantung sampai mati di tengah Damsyik pada tahun 1965 setelah diketahui identitinya. [3]
Menteri Luar Ireland menyatakan bahawa negaranya sekali-kali tidak akan berganjak daripada pendiriannya terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Zionis Israel ke atas Gaza. Beliau juga menegaskan bahawa negaranya tidak akan teragak-agak menangkap Netanyahu jika sekiranya Perdana Menteri Israel itu melawat Dublin. [4]
Ahmad al-Syara’ dalam temubualnya dengan akhbar Turkiye, Yenisafak menyatakan bahawa kemenangan rakyat Syria juga adalah kemenangan rakyat Turkiye. – Perubahan yang berlaku di Syria banyak memberi kelebihan kepada Turkiye khususnya penyelesaian lebih 3 juta pelarian Syria dapat pulang ke tanah air mereka. [5]
Tersebar video aktivis warga Perancis di Lyon menyerbu pasaraya Carefour seterusnya membuang barang-barang keluaran Israel dan menyeru orang ramai supaya memboikotnya sebagai solidariti dengan rakyat Palestin.[6]
Presiden Turkiye, Rejab Tayyib Erdogan menghadiri sidang D-8 di Kaherah, Mesir bagi membincangkan isu-isu semasa yang berlaku khususnya perubahan yang berlaku di Syria. – D-8 adalah gabungan 8 buah negara Islam yang dicetuskan oleh almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan ketika beliau menjawat Perdana Menteri Turkiye 1995-1996. 8 buah negara tersebut adalah Turkiye, Malaysia, Mesir, Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Iran dan Indonesia. [7]
Perselisihan dalaman kepimpinan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) makin memuncak dan dijangka akan membawa keruntuhan kerajaan PLO yang berpusat di Tebing Barat. Ia ekoran kemarahan rakyat Palestin di Tebing Barat kerana anggota keselamatannya bekerjasama dengan rejim Zionis Israel dalam menyekat kebangkitan rakyat Palestin. Perkembangan ini menyebabkan sebahagian pimpinan PLO tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil dan mahu PLO tidak menjadi ‘pak turut’ kepada Zionis Israel. [8]
Ketua Majlis Keamanan Iran memberi amaran bahawa ketidakstabilan keselamatan di Syria akan beralih ke Iraq. Beliau juga mengecam pencerobohan Zionis Israel ke atas bumi Syria. – Secara jelasnya, Iran adalah kuasa yang paling rugi akibat perubahan politik di Syria. Ini kerana Syria adalah rakan strategik Iran sejak penubuhan Republik Islam Iran pada tahun 1979. Syria adalah satu-satunya negara yang menyokong Iran ketika perang Iraq-Iran sekitar 1980an. Justeru perubahan yang berlaku mendorong Iran untuk merubah strateginya kerana dijangka dalam masa terdekat Zionis Israel akan menjadikannya sasaran utama bagi memusnahkan rangkaian ‘Axis of Resistance’. [9]
Sekumpulan Rabi Yahudi menunaikan acara keagamaan di wilayah Bukit Golan yang diceroboh oleh tentera Zionis Israel. Mereka mendakwa bahawa Bukit Golan adalah milik mereka. – Sudah menjadi rahsia umum; Zionis Israel sedang melaksanakan plan Isra4l Raya yang merangkumi keseluruhan Timur Tengah. Dengan kejatuhan kerajaan Basyar al-Assad dan suasana yang masih tidak menentu, Zionis Israel terus mengambil peluang ini untuk meluaskan penjajahannya ke dalam bumi Syria. [10]
Rusia menghantar dua pesawat TU-95 MS yang boleh membawa bom nuklear berhampiran Alaska, Amerika Syarikat. Suasana tegang antara Rusia dan Barat berterusan ekoran peperangan di Ukrain sejak januari 2022. Rusia mendakwa serangannya ke atas Ukrain adalah defensif ekoran perancangan Barat mahu memasukkan Ukrain ke dalam kesatuan NATO yang menjadi ancaman strategik ke atasnya. – Semenjak Putin memimpin Rusia, hubungan antara Rusia dan Dunia Islam berada di kemuncaknya ekoran polisinya yang mesra dengan negara-negara Islam. [11]
Perkembangan semasa yang berlaku menunjukkan bahawa dunia Islam khususnya Timur Tengah menjadi fokus utama masyarakat antarabangsa. Dunia sedang menuju ke arah perubahan besar dalam masa terdekat yang akan membawa sinar kepada dunia Islam insya-Allah.
USTAZ DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
19/12/2024 – HARAKAHDAILY 19/12/2024
Rujukan:
[1]
[2] https://www.raialyoum.com/صورة-الانتصار-نتنياهو-ووزير-أمنه-وقاد/
[3]
https://arabic.rt.com/world/1629192-إنزال-إسرائيلي-قرب-دمشق-استمر-20-دقيقة
[4]
[5]
[6]
https://www.yenisafak.com/ar/video-gallery/world/4080196
[7]
https://www.yenisafak.com/en/news/turkish-president-to-attend-d-8-summit-in-egypt-3695931
[8]
[9]
[10]
[11]
https://www.aljazeera.net/news/2024/12/18/تحذير-من-حرب-بالقطب-الشمالي-وروسيا-ترى











