
KOTA BHARU: Sebuah syarikat bumiputera dari Kelantan, Imedikel, mencatat sejarah baharu apabila berjaya menembusi pasaran New York, Amerika Syarikat dengan produk inovatif mereka yang mampu memulihkan tenaga.
Pelancaran produk ini disifatkan sebagai satu pencapaian luar biasa dan julung kali berlaku bagi syarikat tempatan, khususnya dari Kelantan, untuk membawa produk terus ke pasaran negara Uncle Sam itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, pencapaian ini menjadi kebanggaan Kelantan dan Malaysia kerana ia membuktikan keupayaan pengusaha tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan negeri amat berbangga dan menyokong usaha ini kerana kita tahu pasaran Amerika Syarikat adalah antara yang paling mencabar. Produk ini bukan sahaja menembusi pasaran, tetapi juga membawa nama Kelantan ke peringkat global,” katanya lagi.
Beliau turut mengharapkan kejayaan ini akan membuka peluang kepada lebih banyak produk tempatan lain untuk menembusi pasaran luar negara.
“Selepas Amerika, kita yakin produk ini juga mampu menembusi pasaran negara-negara lain. Ini adalah satu permulaan, dan kami berharap akan ada lagi syarikat Kelantan yang mengikuti jejak langkah ini,” tambahnya.
Kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan insentif khas untuk menyokong syarikat seperti Imedikel agar mereka terus berkembang dan menghasilkan produk berkualiti tinggi.
“Sebagai contoh, Kelantan pernah memberikan insentif seperti pengecualian cukai selama 15 tahun kepada pengusaha yang membuka kilang di negeri ini,” jelasnya.
Pihak kerajaan turut menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan untuk meneroka pasaran antarabangsa, sambil memberi jaminan sokongan penuh kepada usaha mereka.
“Kejayaan ini bukan sesuatu yang mudah, dan ia adalah bukti keazaman serta kesungguhan anak tempatan yang berjaya membawa nama Malaysia ke luar negara. Usaha ini wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan lain,” ujarnya.
Dengan kejayaan Imedikel ini, kerajaan negeri yakin Kelantan terus menjadi salah satu pusat penghasilan produk tempatan berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat global. – HARAKAHDAILY 18/12/2024











