Filem: Promosi budaya, warisan tempatan ke peringkat global

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah melaksanakan sebanyak 64 program pembangunan modal insan dalam bidang kreatif perfileman yang melibatkan seramai 3,925 orang peserta di seluruh Malaysia.

- Advertisement -

Suhubungan itu, Senator Abdul Nasir Idris menggesa kerajaan untuk menyediakan inisiatif kewangan atau geran bagi membantu pembikinan filem tempatan yang berkualiti tinggi agar mampu bersaing di peringkat global.

“Apakah usaha dan langkah yang boleh diambil untuk promosi kebudayaan dan warisan tempatan melalui filem ini untuk menarik perhatian pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kementerian melalui FINAS telah memperuntukkan RM16 juta Dana Kandungan Kreatif (DKK) pada 2024 bagi tujuh jenis kategori dana.

“Dalam masa yang sama, jika filem itu mengandungi unsur yang boleh mempromosikan Malaysia mereka layak mendapat tambahan rebat sebanyak lima peratus,” katanya.

Dalam soalan asal, Abdul Nasir meminta Menteri Komunikasi menyatakan apakah usaha kerajaan dalam menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.

Nie Ching dalam jawapannya berkata kementerian melalui agensi FINAS sentiasa melaksanakan usaha berterusan untuk menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.

“FINAS telah menawarkan pelbagai latihan teknikal dan kursus bertaraf profesional dalam bidang pengarahan, penulisan skrip, produksi, penyuntingan, serta aspek teknikal seperti pengendalian kamera dan pencahayaan, kesan visual (VFX) dan lain-lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2024

- Advertisement -