
KANGAR: Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 (Kajian Semula) menjadi dokumen penting bagi memacu pembangunan mampan dan progresif, selaras matlamat Perlisku Bestari, Negeri Progresif, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi menjelang tahun 2040.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, RSN tersebut disediakan bagi menyelaraskan dasar-dasar terkini di peringkat negeri dan Persekutuan, dengan tempoh kajian selama 12 bulan bermula 21 Mei 2024 hingga 25 Mei 2025.
“Dokumen ini akan menjadi asas panduan kepada semua pihak berkepentingan dalam perancangan guna tanah secara optimum serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Laporan Tinjauan RSN Perlis 2040 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Tambahnya, enam teras pembangunan diketengahkan dalam penemuan awal kajian, merangkumi penjanaan ekonomi berpendapatan tinggi, pemerkasaan masyarakat sejahtera, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan penempatan mampan, infrastruktur efisien dan pemuliharaan holistik.
Mohd Shukri turut menekankan, pembangunan negeri Perlis perlu bersifat holistik, bukan sekadar memfokuskan projek berimpak tinggi tetapi turut menjaga kelestarian alam sekitar, meningkatkan modal insan dan taraf hidup rakyat.
“Kerangka Gagasan Perlisku Bestari Berkat Lestari yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 Oktober 2024 menjadi garis panduan penting dalam memastikan pembangunan negeri berjalan selaras dengan hasrat yang ditetapkan,” jelasnya.
Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Laporan Tinjauan ini berlangsung dari 16 Disember 2024 hingga 16 Januari 2025, bagi membolehkan rakyat, jabatan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta memberi pandangan serta cadangan bagi pembangunan negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 17/12/2024











