
SEMALAM, banyak perbincangan menarik perkongsian sahabat-sahabat sepengajian di Syria dulu. Pihak terlibat, campur tangan asing, pengalaman di Syria, penjajahan Israel, peranan Ulama’, dan sebagainya.
Ada satu yang saya tak sangka jadi topik perbincangan, tapi menarik. Kedudukan terkini mengikut bacaan eskatologi.
Tidak dinafikan, ramai agamawan sekarang menyatakan berkenaan Syam yang bakal menjadi kem pasukan orang beriman. Tetapi beberapa sudut lain perlu dicermati agar bacaan itu lebih teliti:
1. Kem pasukan dipimpin oleh al-Mahdi:
Hadis yang menyatakan kem Islam di Syam atau lebih spesifiknya Ghouta, Timur Damsyik berlaku di zaman al-Mahdi. Hadis turunnya Nabi Isa di menara putih Timur Damsyik semasa al-Mahdi ingin mengimami solat Subuh. Al-Mahdi memiliki ciri-ciri khusus yang disebutkan.
2. Al-Mahdi akan muncul dari Timur.
Hadis tidak menyatakan al-Mahdi datang dari Damsyik. Yang disebut adalah al-Mahdi akan memimpin panji hitam dari Timur dan memerangi dunia Arab. Hinggalah dia dibaiah di depan Kaabah. Syam berada di sebelah Barat. Sedangkan kumpulan sekarang adalah penduduk setempat dan kaum Arab.
3. Tentera Syam memerangi al-Mahdi.
Sebaik al-Mahdi di baiah, tentera dari Syam akan menuju Makkah bagi memeranginya. Tetapi ditelan oleh bumi di Baida’. Setelah itu baru umat Islam sedar imam Mahdi muncul dan memberi baiah kepadanya. Menandakan kumpulan yang ada sekarang lebih berpotensi untuk menjadi penyerang al-Mahdi berbanding pengikutnya.
4. Kem Islam akan terpisah antara mukmin dan munafik.
Menurut hadis yang menggunakan lafaz kem (فسطاط), Nabi turut menyatakan kem Islam akan diuji sehingga membentuk dua kumpulan. Kem mukmin yang tidak ada sedikitpun munafik dan kem munafik yang tidak ada sedikitpun mukmin. Selagi umat ini berpecah kepada lebih dua kumpulan, kem Islam tidak akan terbentuk.
5. Kem Islam Damsyik terbentuk di zaman Malhamah.
Nabi jelas menyebutkan kem Islam di Ghouta adalah pada hari Malhamah. Sebelum dan semasa Malhamah, banyak perkara berlaku seperti gabungan Islam dan Rom, pembukaan Konstantinopol dan sebagainya. Sedangkan perkara tersebut masih belum berlaku.
6. Perang Islam-Rom di sempadan Turkiye-Syria.
Setelah gabungan Islam-Rom terlerai, keduanya akan berperang pula. Kumpulan Islam akan datang dari arah Syria, Rom pula dari Turkiye. Bertembung di sempadan (Amaq-Dabiq). Sedangkan kumpulan sekarang tiada masalah dengan pihak Turkiye, bahkan menerima tajaan senjata dan latihan untuk menjatuhkan Assad.
7. Al-Mahdi di zaman Dajjal.
Tempoh masa antara Malhamah dan pembukaan Konstantinopol adalah enam tahun. Dajjal muncul pada tahun ketujuh. Dajjal memerintah semasa 40 hari, sebelum dibunuh oleh Nabi Isa. Selagi Malhamah tidak tercetus, tempoh ini tidak akan bermula.
Kesimpulannya, tak boleh melihat situasi di Syria sahaja untuk memahami hadis mengenai Syam. Ia turut melibatkan situasi Palestin, tanah Arab, dunia Timur, bangsa Rom, Turkiye dan bermacam lagi.
Saya tak datangkan nas untuk memudahkan kefahaman. Kalau maklumat lanjut mungkin boleh ikuti channel telegram saya Alang Ibn Shukrimun, atau boleh baca buku Di Bawah Naungan al-Kahfi. Mohon maaf sekali lagi, buku Geoeskatologi masih belum diulang cetak.
ALANG IBN SHUKRIMUN
15 Jamadil Akhir 1446
17 Disember 2024 – HARAKAHDAILY 17/12/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











