RCI Batu Puteh: Senjata politik, parlimen diperalat?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar mengecam tindakan kerajaan menggunakan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh sebagai alat politik yang disifatkan sebagai terdesak, tidak bermaruah dan jijik. 

Menurut beliau, rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa isu itu hanyalah agenda peribadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bukannya demi kepentingan kedaulatan negara. 

“Parlimen diperalatkan dan rakyat dipermainkan. Kegagalan Kerajaan Madani untuk meluluskan usul RCI Batu Puteh di Parlimen pada Khamis lalu adalah bukti jelas bahawa usul ini tidak relevan, malah hanya bermotifkan politik dendam yang merugikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ustaz Sukri turut mempersoalkan integriti kerajaan yang mendakwa memperjuangkan ketelusan, tetapi sanggup memperalatkan Parlimen untuk menekan musuh politik.

“Ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab!” katanya sambil menegaskan bahawa rakyat Malaysia semakin bijak dan tidak akan berdiam diri terhadap manipulasi politik seperti itu.

Malah menurutnya, isu RCI Batu Puteh dijangka menguatkan sentimen rakyat untuk menghukum Kerajaan Madani dalam pilihan raya akan datang. 

“Tindakan Kerajaan Madani menjadikan isu ini sebagai alat politik bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Madani, malah mencemarkan institusi Parlimen yang sepatutnya menjadi medan membela kepentingan rakyat bukan dendam peribadi,” tambahnya. 

Ustaz Sukri turut menyeru Perdana Menteri untuk berpolitik secara matang dan mengutamakan kepentingan negara.

“Jangan rosakkan negara ini dengan dendam kesumat peribadi yang tidak berkesudahan,” pesannya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -